JPS Logo

Projek

Perhatian, buka di jendela baru. PDFCetakE-mel

1. RANCANGAN RAMALAN DAN SISTEM AMARAN BANJIR

 

Sistem Ramalan dan Amaran Banjir Bersepadu Lembah Kelang(IFFRM)

 

Projek Sistem Ramalan dan Amaran Banjir Bersepadu Lembah Kelang (IFFRM) adalah projek yang mengintegrasikan Model Sistem Ramalan Banjir dan memantau isu sumber air yang berkaitan seperti kualiti air, kemarau dan banjir lumpur. Lembangan Sungai Klang dipilih berdasarkan lembangan sungai yang pertama mengimplementasikan konsep ini kerana Lembah Klang merupakan kawasan pembangunan yang paling pesat di dalam negara ini. Kuala Lumpur, bandaraya yang mempunyai jumlah populasi sebanyak 4 juta mengalami kekerapan kejadian banjir setiap tahun dan kesemuanya belaku di Lembah Klang. Disebabkan itu, 88 stesen hidrologi dibina di sekitar Lembangan Sg Klang bertujuan untuk merekod dan memantau banjir, aras air, ‘soil mosture’, kualiti air, aliran air dan cuaca (menggunakan stesen kajicuaca). Data-data yang direkod ini kemudiannya akan digunakan sebagai input untuk membangunkan model ramalan banjir supaya model yang dibangunkan lebih efisien dan tepat untuk dimaklumkan kepada agensi yang berkenaan seperti JPS Kuala Lumpur, JPS Selangor, DBKL, Penguasa Tempatan , operator empangan dan pihak media. Dengan maklumat tersebut, agensi-agensi dapat membuat keputusan dan persediaan dalam menghadapi kejadian banjir sekaligus mengurangkan kesan banjir pada kawasan banjir.

 

 

ifrm.jpg
Bilik kawalan Projek IFFRM

 

2. KAJIAN SUMBER AIR

 

Kajian Sumber Air Bersepadu Untuk Wilayah Utara Semenanjung Malaysia

 

Wilayah utara Semenanjung yang terdiri daripada Perlis, Kedah dan Pulau Pinang adalah kawasan penting untuk pertanian terutamanya penanaman padi. Skim Pengairan Muda yang dikenali sebagai jelapang padi Malaysia dan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang secara bersama menghasilkan lebih daripada separuh pengeluaran beras negara. Walau bagaimanapun, kawasan ini menghadapi masalah sumber air dalam beberapa dekad yang lalu disebabkan oleh keberubahan curahan hujan dan permintaan air yang meningkat akibat pembangunan ekonomi sosial yang pesat. Penanaman padi telah ditinggalkan atau terlewat pada tahun 1977, 1978, 1982, 1991 dan 1998 dalam Skim Muda akibat kekurangan air. Bekalan air domestik dan industri di kawasan telah diganggu disebabkan oleh kekangan ketersediaan sumber air.

 

JPS ialah agensi kebangsaan yang bertanggungjawab terhadap hidrologi dan fungsi ramalan banjir. JPS membina ribuan stesen hidrologi di seluruh negara dan menyelenggara pangkalan data kebangsaan bagi hidrologi. Kebolehpercayaan mana-mana kajian sumber air akan memerlukan data hidrologi yang mencukupi, dari segi kuantiti dan kualiti. Oleh itu adalah amat mustahak untuk membangunkan pangkalan data hidrologi dengan set data tepat yang lengkap. Pangkalan data yang dibina dengan cara sedemikian hendaklah digunakan untuk mengemas kini dan memperbaiki kajian sumber air lalu.

 

Skop kajian adalah untuk mengkaji semula dan mengemas kini ketersediaan sumber air, permintaan air dan status kualiti air untuk kawasan kajian menggunakan pangkalan data JPS dan pengumpulan data lapangan tambahan, untuk mengkaji dan dicadangkan pembaikan rangkaian hidrologi dalam kajian kawasan untuk pembangunan dan pengurusan sumber air yang optimum, untuk mengkaji semula ketersauran dan jadual pelaksanaan bagi projek sumber air dicadangkan di bawah NWRS (EPU 2000) di dalam kawasan kajian dan mencadangkan kawasan yang perlu dipelihara dan ditahan daripada apa-apa projek pembangunan untuk sumber air yang mampan.

 

3. PEMANTAUAN DAN RAMALAN KEMARAU

Laman Sesawang Pemantauan Kemarau (InfoKemarau)

 

Program Pemantauan Kemarau telah dibangunkan pada awal tahun 2001, lanjutan peristiwa kemarau pada tahun 1998. Antara inisiatif yang pertama ialah mewujudkan Laman Sesawang (dikenali sebagai InfoKemarau) secara keseluruhan memfokuskan perlaksanaan pemantauan kemarau. Objektif utama adalah untuk membantu agensi-agensi yang berkaitan dalam membuat persediaan awal dalam menghadapi situasi kemarau. Pada tahun 2013, Laman Sesawang ini telah ditambahbaik dengan penambahan Maklumat berkaitan kemarau di Malaysia.

JPS Malaysia telah diberi tanggungjawab untuk melaporkan paras air sungai dan paras air Empangan. Sebanyak 41 stesen hujan telah dipilih untuk memantau taburan hujan. Selain itu, 21 stesen  aras air dipilih untuk memantau paras Empangan dan 25 stesen selebihnya untuk paras sungai.

JPS Malaysia juga menggunakan Standard Precipition Index (SPI), aras air sungai dan aras air Empangan sebagai maklumat untuk memantau kemarau Hidrologi. Kemarau Hidrologi adalah terma yang digunakan untuk mengenalpasti pengurangan berterusan kadaralir sungai, paras air empangan dan taburan hujan. Situasi kemarau hidrologi  berlaku apabila penurunan berterusan kadaralir sungai dan paras air empangan. Situasi kemarau hidrologi diukur daripada perubahan seperti dibawah:-

a) Hujan

Ditakrifkan sebagai kekurangan hujan kumulatif untuk sekurang-kurangnya 3 bulan berturut-turut melebihi 35% dari normal dan indeks SPI bulan terkini kurang dari -1.5. Met Malaysia akan mengeluarkan amaran awal kemarau kepada agensi-agensi bertanggungjawab.

b) Kadaralir Sungai

Apabila kadaralir sungai berada di bawah normal untuk sekurang-kurangnya 2 bulan dalam tempoh 3 bulan berturut-turut melebihi 5 Tahun Kadar Alir Rendah (Waspada), kejadian kemarau telah berlaku. JPS Malaysia melaporkan kadaralir rendah sungai harian (7-day Low Flow 2 Years, 5 Years, 10 Years & 20 Years) secara online untuk 25 stesen di Semenanjung Malaysia.

c) Paras Empangan

Kejadian kemarau berlaku apabila penurunan paras air empangan berterusan berada di bawah paras normal untuk tempoh 3 bulan berturut- turut. JPS Malaysia melaporkan 21 paras air Empangan termasuk maklumat paras air maksimum, peratusan baki simpanan, dan paras air minimum. Maklumat ini juga boleh dicapai di laman sesawang Infokemarau.

Melalui laman sesawang ini, agensi-agensi berkaitan dan orang awam akan mendapat maklumat awal sebelum berlakunya kemarau serta boleh mengambil tindakan bagi mengurangkan risiko akibat kemarau terutama kesan kepada bekalan air domestik, perindustrian dan juga pertanian.